Impian, Usaha, Doa dan Redha
Assalamualaikum… moga semua sihat sejahtera!
Setiap di antara kita mahukan yang terbaik dalam hidupnya. Juga, mengimpikan untuk memiliki apa saja, sama ada yang telah dimiliki oleh orang lain mahupun yang tidak pernah dimiliki oleh sesiapa. Impian dan keinginan merupakan salah satu pendorong kita sekalian hamba ini untuk berusaha. Merupakan juga sebagai pemacu semangat untuk memenuhi setiap impian yang diimpikan.
Bila ada impian, harus pula ada usaha mengiringinya barulah impian-impian tadi mampu dikecapi dengan izin-Nya. Namun, sebagai hamba yang yakin dan percaya bahawa sesuatu itu telah ditentukan oleh-Nya, maka kita juga harus redha dengan apa jua kemungkinan.
Tak semua impian akan tercapai, tak semua keinginan terlaksana - itu yang harus kita ingat dan sedari, agar kita tidak berasa sakit hati. Agar hati kita sentiasa redha dan tenang untuk menerima sesuatu yang di luar jangkaan serta tidak kita ingini. Kita harus sentiasa belajar untuk bersyukur, baik tatkala menerima kebaikan atau dugaan sekalipun. Kerana, tidak berlaku atau ditimpakan sesuatu ke atas diri kita tanpa sebab.
Mudah-mudahan dengan sentiasa bersyukur ini, Maha Pencipta akan memberikan lebih rahmat-Nya kepada kita. Hidup dan kehidupan kita sentiasa diredhai-Nya, serta sentiasa di bawah lindungan-Nya.
Yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang - menanam impian, berusaha, berdoa dan redha, merupakan kombinasi agar kita sentiasa positif menerima apa jua, agar kita sentiasa sedia dari segi fizikal dan mental atas dugaan-dugaan yang diberikan-Nya. Kita harus berfikir tentang keseimbangan hidup dan kehidupan ini, di mana setiap sesuatu itu berpasangan. Jika ada pahala ada pula dosa. Ada baik ada buruk. Di sini kita telah diberi pilihan dengan jelas oleh-Nya. Jika memilih baik, baik pula yang kita dapat dan begitulah sebaliknya.
Moga, kita semua bijak memilih! Insya-Allah…
