Apa Yang Kita Cari?
Salam… Masih dateline! Memang rasa macam dah nak ‘dead’! Eehehe… Sabar, sabar banyak-banyak, insya-Allah dalam sehari dua ni segalanya akan dapat diselesaikan.
Beberapa minggu kebelakangan ni, asyik turun naik turun naik bilik bos. Ada saja benda ‘baru’ (ada juga yang lama tapi baru nak dibangkitkan semula) yang dibicangkan. Ikut sajalah, asalkan ada terlihat kebaikannya untuk semua. Bak orang kata, baik ada daripada tak ada langsung! Walaupun sekelumit, asal saja namanya kebaikan, maka ia tetap sebuah kebaikan. Yang pasti, akan menguntungkan semua pihak, insya-Allah.
Kita sebenarnya kadang-kadang tak boleh menjangkakan sesuatu itu bila akan berlaku, bila akan terlaksana. Kita ini hanya mampu merancang - berusaha mencapai sesuatu dalam target tempoh yang dimahukan. Namun, ada kala sesuatu yang pernah kita sebutkan beberapa tahun lalu tak pernah diendahkan, tiba-tiba hari ini dibangkitkan kembali. Itulah bukti bahawa kita hanya mampu merancang!
Apa-apa saja dalam kehidupan kita ini, bukanlah ‘milik’ mutlak kita. Ia dipinjamkan oleh Maha Pemurah dan yang pasti boleh diambil kembali dan sudah tentu pasti kita juga akan ‘kembali’ kepada-Nya. Ke mana kita pergi, jauh sejauh-jauhnya… kata orang, suatu hari nanti kita pasti akan kembali ke tempat asal kita. Kita boleh umpamakan kehidupan ini sebagai satu pengembaraan. Apa yang kita cari?
Kita mungkin akan bertanya apa yang kita cari dan mahu dalam hidup dan kehidupan ini. Hakikatnya, kita tak perlu bertanya kerana kita sebenar-benarnya telah tahu apa yang patut dicari dan ke mana hala tuju kita. Namun, setiap daripada kita mungkin akan melalui jalan lurus, mudah, aman untuk sampai ke destinasi. Manakala ada pula yang terpaksa melalui jalan berliku, berlopak, banyak halangan. Apapun dan bagaimana rupa bentuk jalan, akhirnya kita tetap sampai ke destinasi yang sama - iaitu mengadap-Nya!
Hum… nasib setiap di antara kita juga tidak sama, kerana dugaan oleh Maha Pencipta memiliki hikmah tersendiri bersesuaian dengan diri kita sbagai hamba-Nya. Segala untuk kita telah tertulis, tetapi kita tak akan tahu. Seorang kawan bertanya khabar tentang hidup dan kehidupan ini, tetapi nadanya agak pelik. Rupanya, ada khabar tentang nasib kurang baik di sini. Bagaimana pun setakat ini masih alhamdulillah. Rezeki masih dipanjangkan. Sebaliknya, dia mengalami nasib sebagaimana yang telah diramalkan sebelum ini. Dia ibarat, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’!
Ada kalanya, pintu untuk kita sentiasa terbuka. Kita boleh keluar masuk sesukanya. Tapi, kita harus ingat mungkin ada angin bertiup lalu menutup rapat pintu yang sebelum ini sentiasa ternganga. Pintu itu terus tertutup tatkala kita berada di luar sana. Dan, kita pun terkurung di luar…
Kita sering merasa bahawa kita akan memiliki peluang kedua apabila kegagalan menjelma. Gagal atas silap sendiri atau mungkin kita memang harus gagal! Kita jarang mahu berfikir bahawa apa yang ada di depan mata yang kita hadapi ini merupakan satu-satunya peluang yang kita ada. Peluang pertama sekali gus yang terakhirnya!
