Suara Hati

December 21, 2006

Hati-Hati Dengan Hati

Di antara ciri-ciri kebahagiaan dan kemenangan seorang hamba adalah: Bila ilmu pengetahuannya bertambah, bertambah pula kerendahan hati dan kasih sayangnya. Setiap bertambah amal-amal soleh yang dilakukannya, bertambah pula rasa takut dan kehati-hatiannya dalam menjalankan perintah Allah. Semakin bertambah usianya, semakin berkuranglah ambisi-ambisi keduniaannya.

Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya, "Semua anak Adam (manusia) sering melakukan kesalahan (dosa) dan sebaik-baik manusia yang melakukan dosa ialah orang-orang yang suka bertaubat." (H.R Tarmizi)

Hidup di dunia ini hanya sementara. Kita hanya disinggahkan sebelum meneruskan perjalanan menuju kehidupan abadi kelak. Hidup harus ada matlamat, sebagaimana juga jika melakukan sesuatu pekerjaan, pastinya kita mahu kerja tersebut selesai seperti yang dijangkakan. Juga kita mahu mencapai hasil terbaik dalam setiap pekerjaan yang dilakukan.

Lumrahnya, kita semua mahukan yang terbaik dalam semua hal. Makanya, jika menginginkan yang terbaik, kita harus malakukan usaha sebaik mungkin. Bagai ungkapan bermakna ini; ‘benih yang baik menghasilkan pokok yang subur dan buah yang juga baik.’ Dengan izin-Nya setiap sesuatu yang baik pasti akan mendapat imbalan baik juga. Namun, hamba mana yang tak pernah diuji oleh Maha Pencipta? Barangkali kita tidak sedar kita sedang diuji, dan mudah-mudahan kita tidak terlalai dan terlupa untuk bersyukur kepada-Nya.

Jika kita mahu orang berbuat baik terhadap kita, kita juga harus berbuat kebaikan kepada semua orang. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan yang sentiasa ikhlas dan bersih hati tatkala melakukan kebaikan kepada orang lain. Moga kita terhindar daripada menjadi di kalangan orang-orang yang sentiasa mempunyai niat lain, atau ‘ada udang di sebalik batu’.

December 20, 2006

Impian, Usaha, Doa dan Redha

Assalamualaikum… moga semua sihat sejahtera!

Setiap di antara kita mahukan yang terbaik dalam hidupnya. Juga, mengimpikan untuk memiliki apa saja, sama ada yang telah dimiliki oleh orang lain mahupun yang tidak pernah dimiliki oleh sesiapa. Impian dan keinginan merupakan salah satu pendorong kita sekalian hamba ini untuk berusaha. Merupakan juga sebagai pemacu semangat untuk memenuhi setiap impian yang diimpikan.

Bila ada impian, harus pula ada usaha mengiringinya barulah impian-impian tadi mampu dikecapi dengan izin-Nya. Namun, sebagai hamba yang yakin dan percaya bahawa sesuatu itu telah ditentukan oleh-Nya, maka kita juga harus redha dengan apa jua kemungkinan.

Tak semua impian akan tercapai, tak semua keinginan terlaksana - itu yang harus kita ingat dan sedari, agar kita tidak berasa sakit hati. Agar hati kita sentiasa redha dan tenang untuk menerima sesuatu yang di luar jangkaan serta tidak kita ingini. Kita harus sentiasa belajar untuk bersyukur, baik tatkala menerima kebaikan atau dugaan sekalipun. Kerana, tidak berlaku atau ditimpakan sesuatu ke atas diri kita tanpa sebab.

Mudah-mudahan dengan sentiasa bersyukur ini, Maha Pencipta akan memberikan lebih rahmat-Nya kepada kita. Hidup dan kehidupan kita sentiasa diredhai-Nya, serta sentiasa di bawah lindungan-Nya.

Yang bulat tak akan datang bergolek, yang pipih tak akan datang melayang - menanam impian, berusaha, berdoa dan redha, merupakan kombinasi agar kita sentiasa positif menerima apa jua, agar kita sentiasa sedia dari segi fizikal dan mental atas dugaan-dugaan yang diberikan-Nya. Kita harus berfikir tentang keseimbangan hidup dan kehidupan ini, di mana setiap sesuatu itu berpasangan. Jika ada pahala ada pula dosa. Ada baik ada buruk. Di sini kita telah diberi pilihan dengan jelas oleh-Nya. Jika memilih baik, baik pula yang kita dapat dan begitulah sebaliknya.

Moga, kita semua bijak memilih! Insya-Allah… 

December 10, 2006

Mencari Bahagia

Salam Blues untuk semua! Kalau Uncle rajin menulis dekat sini, bermakna sedang banyak kerja sampai tahap tak tahu nak capai yang mana satu la tu. Hehehe… emoticon

Sebenarnya, kita harus selalu bertanya kepada diri sendiri tentang apa yang kita sedang cari dalam hidup dan kehidupan ini. Memang, setiap daripada kita sudah tahu ke mana arah tuju. Juga sudah tahu snagat-sangat tentang ragam kehidupan di alam fana ini.

Mungkin ada yang mahu mencari harta kekayaan. Mahu memiliki apa saja yang diimpikan. Mahu bahagia dengan keluarga tercinta dan sebagainya. Jika kita susun satu persatu tentang apa yang mahu kita cari dan miliki, mungkin saja terlalu panjang senarainya. Namun, kalau kita rangkumkan dan kita simpulkan bahawa apa juga yang kita cari dan impikan, ia akan tetap menjurus kepada SOAL KEBAHAGIAAN.

Kita bahagia jika memiliki harta berjuta! Tapi, benar-benar bahagiakan kita dengan harta itu nanti? Mungkin sekarang ini, ketika kita tidak memiliki apa-apa, kita mampu untuk merencana bahawa segala harta itu kelak akan kita gunakan sebaik-baiknya, demu dunia serta akhirat. Itu sebelum, tetapi majoritinya, setelah hidup dilimpahi kemewahan - mudah saja kita lupa segalanya!

Mungkin juga kita tergila-gila kepada seseorang, mencintainya setengah maut! Lalu, sanggup saja melafazkan tiga kata keramat. Rela saja berkorban apa saja demi cinta kononnya. Itu ketika kamu belum bejaya MEMILIKI si dia sepenuhnya, bukan? Nah, benarkah kamu begitu, sanggup apa saja demi si dia andai kelak si dia sudah menjadi hak mutlak? Mudah-mudahan…

Di sini kita lihat bahawa keinginan kita tak mungkin akan sama dengan kenyataannya kelak. Apa yang kita impikan bukan mesti terlaksana. Sedarlah kita bahawa, kita ini cuma seorang hamba kerdil yang mampu merancang. Kita sesungguhnya tidak mampu untuk menentukan apa-apa, kecuali DIA! Namun, masih ada di kalangan kita yang masih tak sedar akan hakikat itu. Atau, mungkin dia sedar cuma ada kalanya lafaz-lafaznya menjurus kepada unsur riya’! Sebab itu kita sekalian ini telah banyak diingatkan akan bahayanya lisan itu - lidah tidak bertulang! Malah lidah itu kalau tidak dijaga mungkin boleh membawa kepada rosak akidah.

Apa yang kita cari adalah urusan masing-masing dalam hidup dan kehidupan ini. Ya, memang DIA juga menyuruh kita hamba ini mencari apa saja yang kita mahu, asal saja ia tidak bertentangan, asal saja ia bukanlah sesuatu yang sudah terang lagi jelas dilarang.

Kamu carilah sebanyak mana harta, kamu intailah selaut kasih sayang sekalipun di dunia ini, namun andai tiada redha dan izin-Nya… kamu tak akan mengecap kebahagiaan sebenar. Kebahagiaan tidak boleh diukur dengan wang ringgit harta menimbun, bukan juga dengan bilangan keluarga besar, tidak juga dengan berapa ramai orang kenal kamu. Segalanya ditentukan oleh DIA. Apabila DIA sentiasa memandang kita, memberikan hidayah-Nya, insya-Allah bebahagialah kita di dunia ini jua di akhirat kelak. Mudah-mudahan…

December 9, 2006

Keluarga Bahagia [ii]

Salam Blues!

Alhamdulillah… Gath 912 berjalan lancar walau dengan segala kekurangan, dan ala-kadarnya. Ini adalah gath penutup Forum BS untuk tahun 2006. Sebelum itu, Uncle ucap jutaan terima kasih untuk semua yang sudi hadir, terutama yang sangup datang dari jauh tu. Juga atas segala komitmen selama ini, baik untuk Majalah BS mahupun Forum BS yang seadanya itu. Juga atas sokongan moral yang tak pernah surut-surut. Sengal tahap angkasa!

Sebenarnya, tak kisah pun bila masa geng-geng sengal ni nak datang - sebolehnya Uncle nak sambut besh-besh. Jamu makan sedap-sedap bia makan sampai ketat.

Akhirnya, impian sepanjang hampir setahun Forum BS dilancarkan dengan sengalnya, dalat gak Uncle bagi anugerah ala-kadar kat adik-adik sengal ni. Hehehe… hadiah sengal-sengal jer! Sengal jugak otak fikir apa benda dan apa alasan bagi cenderahati kat diorang. Untuk yang Uncle ‘belum bagi’ bukan bermakna kamu dilupakan, tapi belum masa lagi. Insya-Allah, lepas ni mana tahu kita buat gath besar-besaran. Setiap orang akan ada bahagian masing-masing. 

Yang terpenting, hubungan antara kita semakin rapat, dan… keluarga kita makin besar!

Syukur, segalanya berjalan lancar. Yang datang dari jauh sampai ke destinasi dengan selamat. Dan, mana-mana yang pulang terus petang tadi, juga telah dipastikan selamat sampai ke rumah masing-masing walau kepenatan meredah perjalanan jauh. 

Malam ini… DATELINE LAGI! Ada kerja yang masih perlu dibereskan. Insya-Allah menjelang esok semuanya akan siap sebagaimana yang dirancang. Moga dipermudahkan-Nya segala urusan. Tak dinafikan, sebenarnya setiap di antara kita mempunyai ’sumber inspirasi’ masing-masing. Pasti akan ada sesuatu pendorong untuk menaikkan semangat ketika datang ‘kesengalan’. Apa-apa saja boleh dijadikan sumber inspirasi - mungkin ada waktunya kamu semua yang menjadi keluarga ini adalah sumber inspirasinya.

Untuk staff BS yang menguruskan Gath 912:- Bradermacho, Jakalll, Zairi, Iera dan Pac - terima kasih!

Untuk Forumer BS yang memeriahkan Gath 912:- Pu3, In, Cik Katt, Famia & d’Geng , Akma, Darling, T, Myra, Dazur, Arina, Archiq, Dragon, Mawarberduri, Aainies, Lavendra, Polar… terima kasih tak terhingga untuk semua.

Ampun maaf andai ada terkasar bahasa terlebih gurau. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula satu keluarga. Wassalam emoticon

December 8, 2006

Keluarga Bahagiaku…

Salam… Jumaat, hari nan mulia… moga kita semua diberkati. Kerja, kerja, kerja… ehehehe… Sebenarnya macam nak terbabas dateline nih. Saja je nak berkongsi betapa bestnya bila buat kerja last minute, hehehe! Perbuatan kelam-kabut yang memang semua orang tahu betapa penatnya, tapi tetap buat juga! Kita hanya insan biasa.

Esok… Sabtu! Forumer Blues Selamanya sekali lagi serbu studio. Sayang sungguh kat budak-budak ni. Tak boleh berpisah lama-lama, mulalah diorang ‘rindu sangap’. Biasa-biasa kalau dah sangap sangat, akan ada yang mula bertanya, "Uncle, minggu depan dateline tak?" Jawapannya kalau nak diikutkan, TIADA HARI TANPA DATELINE… hehehe! Datang sajalah, kerana kalau nak menanti kami free sefree-freenya tak akan terubatlah rindu itu. Tak ada ruang untuk ‘Ruang Rindu’ bertapak!

Mereka inilah ‘Keluarga BS’… keluarga yang semakin hari semakin membesar. Alhamdulillah, kerisauan beberapa tahun lalu sebelum ‘berani’ buat forum sengal macam yang ada sekarang, akhirnya sirna. Macam-macam andaian dan fikiran yang entah apa-apa bermain - nak buat ke tidak, nak buat ke tidak!

Jurang telah semakin berkurang, itu yang Uncle rasakan. Walaupun orang kata, tak semua perkara harus kita kongsi, namun sebagai ‘menghormati’ ahli-ahli keluarga yang satu ini, kadangkala ada baiknya kita bersikap lebih terbuka. Memang setiap di antara kita mempunyai alasan sendiri-sendiri, mengapa mahu menjadi keluarga ini. Walau apapun alasannya, di sini kita lihat bahawa sebenarnya kita mempunyai persamaan biarpun tidak serupa.

Siapa kami tanpa kamu? Dan, kini kamu telah menjadi sebahagian keluarga ini. Dan, kamu juga semakin banyak tahu tentang apa yang ada di sini. Dan, kamu sentiasa menjadi antara yang pertama untuk mengetahui apa-apa jua pergerakan di sini.

(Uncle tengah sengal DATELINE nih… tu LARI meluah rasa kat sini, hehehe! Uncle makin sengal ek?)

Tak ada perjanjian apa-apa antara kita, kita semua mewujudkan keluarga bahagia ini atas dasar kasih sayang, atas dasar seluruh kepercayaan. Kamu semua memang telah menjadi keluarga yang best! So, selamat datang sekali lagi. Mana-mana yang bakal menempuh perjalanan jauh, mana-mana yang memandu merentas lebuh raya… moga perjalanan diberkati, diredhai, dilindungi, dan sentiasa di bawah naungan Ilahi.

December 7, 2006

Apa Yang Kita Cari?

Salam… Masih dateline! Memang rasa macam dah nak ‘dead’! Eehehe… Sabar, sabar banyak-banyak, insya-Allah dalam sehari dua ni segalanya akan dapat diselesaikan.

Beberapa minggu kebelakangan ni, asyik turun naik turun naik bilik bos. Ada saja benda ‘baru’ (ada juga yang lama tapi baru nak dibangkitkan semula) yang dibicangkan. Ikut sajalah, asalkan ada terlihat kebaikannya untuk semua. Bak orang kata, baik ada daripada tak ada langsung! Walaupun sekelumit, asal saja namanya kebaikan, maka ia tetap sebuah kebaikan. Yang pasti, akan menguntungkan semua pihak, insya-Allah.

Kita sebenarnya kadang-kadang tak boleh menjangkakan sesuatu itu bila akan berlaku, bila akan terlaksana. Kita ini hanya mampu merancang - berusaha mencapai sesuatu dalam target tempoh yang dimahukan. Namun, ada kala sesuatu yang pernah kita sebutkan beberapa tahun lalu tak pernah diendahkan, tiba-tiba hari ini dibangkitkan kembali. Itulah bukti bahawa kita hanya mampu merancang!

Apa-apa saja dalam kehidupan kita ini, bukanlah ‘milik’ mutlak kita. Ia dipinjamkan oleh Maha Pemurah dan yang pasti boleh diambil kembali dan sudah tentu pasti kita juga akan ‘kembali’ kepada-Nya. Ke mana kita pergi, jauh sejauh-jauhnya… kata orang, suatu hari nanti kita pasti akan kembali ke tempat asal kita. Kita boleh umpamakan kehidupan ini sebagai satu pengembaraan. Apa yang kita cari?

Kita mungkin akan bertanya apa yang kita cari dan mahu dalam hidup dan kehidupan ini. Hakikatnya, kita tak perlu bertanya kerana kita sebenar-benarnya telah tahu apa yang patut dicari dan ke mana hala tuju kita. Namun, setiap daripada kita mungkin akan melalui jalan lurus, mudah, aman untuk sampai ke destinasi. Manakala ada pula yang terpaksa melalui jalan berliku, berlopak, banyak halangan. Apapun dan bagaimana rupa bentuk jalan, akhirnya kita tetap sampai ke destinasi yang sama - iaitu mengadap-Nya!

Hum… nasib setiap di antara kita juga tidak sama, kerana dugaan oleh Maha Pencipta memiliki hikmah tersendiri bersesuaian dengan diri kita sbagai hamba-Nya. Segala untuk kita telah tertulis, tetapi kita tak akan tahu. Seorang kawan bertanya khabar tentang hidup dan kehidupan ini, tetapi nadanya agak pelik. Rupanya, ada khabar tentang nasib kurang baik di sini. Bagaimana pun setakat ini masih alhamdulillah. Rezeki masih dipanjangkan. Sebaliknya, dia mengalami nasib sebagaimana yang telah diramalkan sebelum ini. Dia ibarat, ‘yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran’!

Ada kalanya, pintu untuk kita sentiasa terbuka. Kita boleh keluar masuk sesukanya. Tapi, kita harus ingat mungkin ada angin bertiup lalu menutup rapat pintu yang sebelum ini sentiasa ternganga. Pintu itu terus tertutup tatkala kita berada di luar sana. Dan, kita pun terkurung di luar…

Kita sering merasa bahawa kita akan memiliki peluang kedua apabila kegagalan menjelma. Gagal atas silap sendiri atau mungkin kita memang harus gagal! Kita jarang mahu berfikir bahawa apa yang ada di depan mata yang kita hadapi ini merupakan satu-satunya peluang yang kita ada. Peluang pertama sekali gus yang terakhirnya! 

December 6, 2006

Menu Kehidupan

Salam…

Sebenarnya, ketika ini kami sedang ‘dicengkam’ DATELINE (deadline!)! Hidup tanpa dateline, bukanlah kehidupan seorang makhluk dalam dunia publishing. Apa-apa saja yang satu garis dalam garisan publishing, akan ada dateline. Dateline boleh mendatangkan stress! Mampu melalaikan manusia untuk mengingati hal-hal lain, malah kalau sudah sampai tahap kroniknya, sampai lupa Maha Pencipta! Jangan jadi sampai begini, ya? Kerana, apa-apa sekalipun yang kita lakukan dalam kehidupan sementara ini perlu ada izin dan redha-NYA.

Memang benarlah bahawa, ‘dunia itu melalaikan!’

Tekanan dateline boleh membuat kita ‘leper seluruhnya’. Leper perasaan, leper keinginan dan lain-lainnya! Bagaimana rasanya tekanan dateline? Hanya yang pernah merasainya dan masih merasainya saja yang tahu. Walau boleh digambarkan dengan kata-kata, namun huraian itu belum mampu untuk menerangkan seratus peratus definisi tekanan dateline. Tanyakan kepada sepuluh orang yang sedang dihambat dan bergelut dengan dateline, jawapan yang diterima akan ada sepuluh juga. Atau, yang bertanya akan mendapat jawapan, “Kau jangan banyak tanya boleh tak?” Atau, hanya akan kedengaran jawapan, “Hmm…”

Itu gambaran insan-insan yang rasa tertekan. Mungkin ada sebilangannya mampu ‘menyembunyikan’ rasa teruk itu dengan bertindak melayan apa adanya dengan selamba. Atau, seperti ini (seperti Uncle lakukan… hehe!), untuk sementara waktu buat benda lain yang tak ada kena mengena dengan dateline itu.

Mungkin, kita boleh sama-sama renungkan ungkapan ini seketika, “Kita akan belajar lebih banyak tentang sebuah jalan dengan menempuhnya, daripada dengan mempelajari semua peta yang ada di dunia ini.”

Kita harus merasai sendiri tentang sesuatu untuk benar-benar dapat menimba pengalaman daripadanya. Kalau datang masalah, berani untuk berdepannya. Kalaupun tidak mampu mencari penyelesaian, sekurang-kurang ia menambah satu lagi ‘rasa’ dalam kehidupan dunia kita.

Practice makes perfect!

December 2, 2006

Disember

Ini bulan akhir 2006. Kita sudah menginjak Disember, bermakna sudah 11 bulan kita lalui tahun 2006. Januari bagai baru kita sambut hadirnya, mungkin itu yang dirasai oleh sebilangan kita. Masa tak akan berhenti bergerak. Ia akan terus bergerak, dan tak akan undur - sebagaimana yang kebanyakan kita hamba inginkan dengan ungkapan, "Andai masa dapat diputar kembali."

 

Realiti hidup dan kehidupan, ia bergerak ke depan dan tak pernah akan mengundur. Hadapi apa jua yang datang - yang baik atau yang buruk, yang indah atau yang menjelikkan, yang manis atau yang pahit. Itu semua harus kita lalui sebagai makhluk penghuni alam fana ini.

 

Syukur saja kerana kita masih diberi peluang untuk terus menikmati hidup dan kehidupan ini. Bersyukur saja nafas kita masih dihela seiring putaran masa.

 

Hidup tak mesti indah. Itu kita tahu sangat-sangat, tapi kita masih mengeluh dengan kekurangan-kekurangan yang ada. Kita masih mula putus asa bila usaha bagai sia-sia. Kita lupa bahawa nikmat hidup ini saja sudah cukup besar bagi kita. Semua orang sedang berdepan dengan ujian dan dugaan, hanya mungkin ada yang tidak sedar dengan hkikat itu.

 

Yang diberi apa saja keselesaan mungkin terlupa kerana ’sedang diuji dengan nikmat’. Yang diberi kesempitan hidup mungkin terdesak benar sehingga lupa bahawa ‘kesempitan’ yang diberikan ini adalah modal untuk ‘keselesaan abadi’ kelak.

 

Manusia memang mudah dan sentiasa lupa! Mudah-mudahan kita tidak menjadi hamba yang tak pernah dan tak tahu bersyukur dengan anugerah-Nya.






















Get free blog up and running in minutes with Blogsome
Theme designed by Helga Cleve