Anugerah Itu Satu Ujian
Assalamualaikum… Entah kenapa rasa ‘terajin’ pulak nak menaip. Di luar sana hujan masih lebat, sehinggakan jarak penglihatan hanya lebih kurang 10 meter je kalau drive kereta. Mendekati hujung-hujung tahun begini, hujan biasanya mengundang banjir. Walau musim banyak berubah, walau banjir sebenarnya sudah tak mengira masa dan musim, namun… hujung-hujung tahun masih sinonim dengan datangnya banjir, terutama di negeri sebelah pantai timur.
Hujan itu anugerah. Seperti juga anugerah-anugerah Maha Pemurah yang lain, yang harus kita syukuri dan yang harus kita nikmati.
Berdiri sebentar di depan cermin, dan renunglah imej yang ada di depan kita itu. Itulah kita, tetapi memang itu benar-benar diri kitakah? Kita sebenarnya hanya mampu melihat imej semata-mata, tetapi apa yang ada di sebaliknya hanya Dia Maha Mengetahui. Memang itu kita, tetapi kita tak akan tahu seluruhnya tentang diri sendiri. Kerana itu, kita memerlukan orang lain.
Siapakah yang boleh hidup sendiri? Telah diciptakan-Nya manusia pertama, namun kenapa kemudianya diciptakan pula Hawa? Usah difikirkan terlalu jauh - semua kita tahu, Hawa untuk Adam. Sebagai pelengkap sebuah hidup dan kehidupan. Yang bernama manusia telah diciptakan sebagi sebaik-baik kejadian makhluk, namun tidak dinyatakan sebagai MAKHLUK SEMPURNA! Makanya, akan sempurnalah hidup dan kehidupan itu apabila kekurangan-kekurangan yang ada ditampung oleh yang lainnya.
Apa-apa saja yang kita lihat, rasa, miliki dan sebagainya adalah anugerah. Banyak orang hanya menganggap bahawa yang indah itu saja layak dipanggil anugerah. Sedangkan hakikatnya, yang buruk itu juga satu anugerah. Bukankah hidup dan kehidupan di alam fana ini memiliki pasangan setiap daripada satunya. Jika ada Adam ada pula Hawa. Jika ada siang pasti akan ada malamnya. Yang indah akan ada buruknya. Segalanya pasti sebagaimana ada hidup dan kemudian ada pula kematian!
Duduk sebentar dan hela nafas dalam-dalam. Andai kita dilimpahi harta setinggi gunung, itu merupakan anugerah. Selain itu ia adalah amanah. Tetapi yang pasti harta melimpah itu adalah ujian! Kita sedang diuji dengan kekayaan, lalu bagaimana kita menguruskannya? Kita syukuri, kita pastikan hak-hak dalam harta yang dimiliki itu. Bukankah kehidupan di dunia ini sementara? Makanya, segala yang dimiliki di dunia ini juga sementara!
Kemudiannya, mungkin kita akan hidup dalam kesempitan, kesusahan, kemiskinan. Itu juga anugerah. Walau miskin semiskin-miskinnya, kita tetap harus bersyukur kerana dalam keadaan dhaif begitu kita masih lagi menikmati anugerah Maha Pemurah yang lainnya. Kita masih bernafas menikmati hidup dan kehidupan. Kita masih ada pancaindera untuk menikmati keindahan ciptaan Tuhan, masih boleh mendengar irama yang mendamaikan, dan yang lainnya.
Lihat sekali lagi diri kita, imbau sejauh yang kita ingat hingga ke zaman kana-kanak. Kita dilahirkan, dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Atau, mungkin kita terlalu manja, terlebih kasih sayang ketika itu dan kita menjadi anak nakal. Catatkan dalam ingatan segala tingkah dan kerenah kita sejauh zaman kanak-kanak yang kita masih boleh ingat sehingga kini.
Anugerah terindah dalam hidup dan kehidupan - mungkin salah satunya adalah cahayamata. Cahayamata itu adalah cermin diri kita. Kalau tidak 100% pasti ada 50% sifatnya adalah dari sifat-sifat kita. Anugerah ini terindah tapi ujiannya cukup besar dan perlu banyak sabar. Sebagaimana kedua ibu bapa kita pernah pening kepala dengan kerenah nakal kita, begitu pulalah yang akan kita rasa bila tiba masanya nanti.
Semakin banyak anugerah yang kita terima, semakin besar tanggungjawab yang kita pikul. Apapun, syukurilah kerana ANUGERAH-ANUGERAH TERINDAH ini juga menjadi penentu kehidupan kita di sana kelak. Moga kita sentiasa menjadi hamba yang tahu bersyukur. Alhamdulillah… wassalam.
