Nilai Sebuah Pemberian

Assalamualaikum… salam blues!
Begitu cepat masa berlalu. Benarkah begitu? Mungkin… kerana hari ini kita sudah hampir berada di penghujung 2006. Mungkin juga ada yang berkata, bagai baru semalam menyambut tahun baru 2006. Sedar tak sedar kita sudah berada di bulan November.
Sebenarnya, masa tidak pernah bergerak lebih pantas sejak dahulu. Setiap detiknya bergerak sama sahaja. Mungkin kerana kita berada dalam persekitaran yang kelihatan bergerak laju, makanya kita berasa masa turut bergerak laju seperti itu.
Memasuki bulan-bulan terakhir pada setiap tahun, cukup ’seronok’ mengimbau kenangan-kenangan lama. Dan sepatutnyalah kita lakukan demi mengutip setiap pelajaran berguna untuk panduan hidup dan kehidupan pada masa-masa yang mendatang, khususnya tahun 2007. Namun lebih ramai yang mengimbau tanpa mengutip apa-apa ‘pesanan’ yang ditinggalkan dalam setiap peristiwa yang berlaku dan dilalui. Terserah… itu adalah kehidupan masing-masing adanya.
Tahun baru, bererti ada sesuatu yang pasti akan bertambah! Khususnya yang tak mampu kita elakkan lagi, iaitu UMUR kita! Tiba-tiba teringat ulang tahun 20 tahun lalu… Selepas beberapa hari melewati hari ulang tahun kelahiran yang ke 21, sebuah bungkusan yang dihantar melalui pos tiba. Apa isinya?
Itu, lihatlah gambar di atas itu. KOPIAH putih itu hadiah hari lahir yang ke 21! Pemberian seorang sahabat, yang ketika itu juga seorang penulis sambilan. Namanya NOORA A. KADIR, tinggal di Mersing. Kopiah itu dikaitnya sendiri. Dan, kopiah itu sudahpun berusia 20 tahun! Ia masih sempurna, masih dipakai ketika bersolat. Syukur, alhamdulillah… tak ada ‘barang’ pemberian seseorang yang kekal begitu lama di tangan Uncle. Bukan tak menghargai, tetapi ada yang ghaib entah ke mana (terutama ketika berpindah-pindah), ada pula yang rosak dimamah usia.
Benar, setelah diteliti dan dicari-cari, hanya kopiah itu yang masih sempurna walaupun sudah mencecah 20 tahun usianya. Masih boleh dipakai, dan sudah tentu orang yang memberinya sentiasa dalam ingatan walaupun sudah lebih 10 tahun terputus hubungan. Mudah-mudahan dia sentiasa bahagia bersama suami dan anak-anak (andai anaknya bertambah, kerana kali terakhir berhubung anaknya baru seorang). Moga dia sentiasa di bawah lindungan dan naungan Ilahi. Terima kasih banyak-banyak, Noora. Mudah-mudahan kopiah pemberian itu akan terus ‘dipakai’ ketika menghadap-Nya untuk 20 tahun lagi, malah selagi usia dikandung badan, insya-Allah…
Apa lagi yang harus kita kenang? Yang manis dan yang pahit sesungguhnya adalah KENANGAN TERINDAH yang hanya milik kita dengan izin-NYA. Alhamdulillah…
