Demi Masa
Assalamualaikum… moga semua sihat dan sejahtera. Ada yang dah berkata, “Blog Uncle dan bersawang ye?” Humm, lama jugak tak menulis kat sini ye. Tak ada alasan yang boleh benar-benar dipakai kenapa ada waktunya membiarkan ‘blog bersawang’. Kerana, dengan apa jua alasan sebenarnya setiap daripada kita sekalian hamba ini diperuntukkan masa 24 jam sehari semalam. Kalaulah alasan tak ada masa atau kurang masa atau sibuk dengan lain-lain hal untuk menangguhkan apa-apa saja urusan, apa-apa saja kerja maka yang sebenar-benarnya kitalah yang gagal ‘mengurus peruntukan 24 jam itu’!
Setiap di antara kita akan merasakan ‘ketidakcukupan masa ini’ walaupun, Tuhan yang Maha Mengetahui segalanya telah memberikan 24 jam sehari semalam untuk hamba-hamba-Nya. Tak ada seorang pun yang diberikan lebih dan tak ada seorang pun yang diberikan kurang dari 24 jam – setiap hamba diberikan sama rata.
Maha Pencipta, Maha Pemurah, Maha Mengetahui bukan sekadar memperuntukkan 24 jam itu kepada hamba-hamba-Nya, tetapi berserta cara pengisian yang benar lagi betul. Waktu-waktu untuk ibadah, waktu-waktu bila untuk riadah, untuk kerja, malah waktu untuk istirahat. Namun, kita hamba ini seringkali sengaja melangar hokum hidup dan kehidupan sempurna yang telah ditetapkan-Nya.
Kita bebalik kepada persoalan, kenapa kita seringkali berasa ketidakcukupan masa? Sebenarnya, setiap masa yang diperuntukkan kepada kita seringkali ada ‘extra’, ada masa tambahan atau ‘masa kecederaan’. Baiklah, kita lihat contoh paling mudah, iaitu bilakah waktu yang telah ditetapkan untuk kita sekalian hamba ini beristirahat – merehatkan seluruh tubuh?
Tuhan Maha Pencipta telah menyediakan dua pusingan waktu terbesar, iaitu SIANG dan MALAM. Yang siang sudah ditentukan untuk kita sekalianya melakukan pelbagai aktiviti – selain ada waktu untuk ibadah ada waktu untuk mencari rezeki ada juga waktu untuk riadah. Malamnya pula telah terang lagi jelas untuk istirahat selain diberikan ‘peluang’ untuk ‘extra ibadah’.
Kita sekalian hambalah yang akan memutar tunggang-terbalikkan ketetapan pada waktu-waktu tersebut. Waktu tidur dijadikan untuk bekerja, waktu bekarja untuk tidur. Paling tak guna apabila waktu ibadah dijadikan waktu riadah! Kerana tanpa sedar atau sedar, kita melanggar hukum kehidupan, hukum alam, malah hukum Tuhan, makanya tidak hairanlah ‘nikmat masa’ itu bagai ditarik dari diri kita. Lalu kita pun merungut ketidakcukupan masa.
Hakikat sifat manusia itu sentiasa mencari alasan kerana kegagalan dirinya mengurus sesuatu. Atau, sebenarnya kebanyakan manusia menjadikan alasan sebagai topeng untuk menutupi bahawa dirinya adalah MALAS!

