Suara Hati

September 28, 2006

Tetamu Agung

Allah telah memilih bulan Ramadan bagi umat Islam sebagai satu bulan yang penuh berkat dan mulia. (Dr. Yusuf al-Qaradhawi)

 

Kedatangan seorang tetamu bagi seseorang, tambahan tetamu yang membawa segala yang diharapkan pastilah orang itu akan berasa riang dan gembira. Kenapa? Setidaknya, tetamu dapat memenuhi harapan kita sebagai tuan rumah. Bagi orang yang sudah memiliki keluarga dan anak-anak, kehadiran tetamu merupakan hal yang sangat menyenangkan, apa lagi jika tetamu itu sudah lama dinanti-nantikan kehadirannya. Begitu juga kiranya dengan Ramadan ini. Bulan mulia, penuh berkat, bertabur pahala dan lipatan ganjaran kebaikan merupakan Tetamu Agung yang harus kita sambut dengan senang dan gembira.

 

Ramadan adalah tetamu yang banyak membawa keberkatan, nikmat, limpahan pahala dan pelbagai kebaikan. Sangat naif sekali jika seorang Muslim tidak sedar akan kehadiran Tetamu Agung ini. Tambahan jika lalai dan baru sedar ketika tetamu sudah mahu pergi meninggalkan tuan rumah. Bukankah Nabi SAW mengatakan bahawa jika seorang tetamu datang berkunjung, dia membawa seribu berkat?

 

Allah telah mewajibkan ibadah puasa kepada kita pada bulan Ramadan. Tidak mungkin Allah mewajibkannya pada bulan tersebut, kecuali mengandung rahsia-rahsia yang luar biasa, hikmah yang tinggi, ada yang sudah kita ketahui dan ada yang belum kita ketahui yang sebahagian dari hikmah dan rahsia tersebut telah diketahui oleh para ilmuwan sejalan dengan kemajuan zaman (Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 1995: 288).

 

Ada sebahagian orang berasa berat menjalankan perintah ibadah puasa. Padahal, sesungguhnya, perintah ibadah puasa [yang dari dimensi lahiriah adalah latihan dari menahan diri dari makan, minum dan berhubungan biologi] sama sekali bukanlah paksaan yang bertujuan untuk menyakiti atau menyengsarakan manusia. Di balik perintah puasa itu justru ada hikmah lain, yakni proses menyihatkan secara rohaniah. Dan yang demikian itu sangat penting bagi kelangsungan manusia itu sendiri. (Dr. Nurcholish Madjid, 2001: 58).

 

Di antara hikmah dari perintah menahan lapar, dahaga adalah untuk membersihkan (mensucikan) perut dan mengolah (melatih) diri (al-nafs). Pembersihan perut berdasrkan pada sebuah hadis Nabi SAW; Perut yang terlalu penuh dengan makanan adalah sumber penyakit, dan menolak makanan (puasa) adalah awal dari proses pengubatan. Jadi, puasa Ramadan dapat membersihkan perut dari sisa-sisa makanan yang dimasukkan ke dalamnya selama setahun.

 

Hujjatul Islam, Imam al-Gazhali berkata bahawa sesuatu yang paling berbahaya bagi anak Adam adalah syahwat perut. Kerana syawat tersebut Adam dan Hawa dikeluarkan dari syurga ke dalam alam yang penuh kehinaan dan kefakiran (dunia). Dan ternyata, perut merupakan gudang segala bentuk syahwat dan tempat bersemayamnya penyakit dan keburukan (bencana). [Muhammad ‘Athiyah al-Abrasy, 2002: 102-103]

 

Menurut al-Qaradhawi juga, ternyata jenis penyakit memang banyak datang dari perut manusia yang mereka penuhi dengan pelbagai jenis makanan apa saja yang mereka senangi yang tidak pernah mereka beza-bezakan; apakah makanan tersebut baik atau tidak, halal atau haram. Tidak ada satu tempat pun yang dipenuhi oleh anak Adam yang lebih jelek dari perutnya…. (HR. Al-Tirmidzi, dihasankan oleh Ibnu Majah dan Ibnu Hibban di dalam Shahihnya) [al-Qaradhawi, Op.Cit., 290].

 

Oleh kerananya Nabi SAW menganjurkan umatnya agar mengurus perutnya sedemikian rupa, agar tidak dipenuhi oleh makanan dan minuman saja. Namun, perutnya harus dibahagi menjadi tiga segmen; satu bahagian untuk makanan, satu bahagian untuk minuman dan satu bahagian lagi untuk dirinya (bekerja, bernafas, berkativiti dan beribadah kepada Allah SWT).

 

Ada kajian menyebutkan bahawa tiga ratus orang telah terhindar dari penyakit diabetes kerana menjalani proses pengubatan dengan berpuasa. Maka, benarlah bahawa berpuasa dapat menyihatkan badan.

 

Di samping itu, puasa juga merupakan cara untuk memperindah dan menghidupkan hati kita. Kerana hati, kata Rasulullah laksana tanaman, akan mati jika terlalu banyak disiram air. Maka jangan kalian hilangkan cahaya hati kalian dengan banyak makan, ujar Baginda. Makanya, paramedik mengubati penyakit lepra dengan menganjurkan berpuasa kepada pasien sebelum proses operasi dilaksanakan. Ternyata puasa itu merupakan olah-raga spiritual (spiritual sport) yang sangat efektif dan mudah untuk dilakukan.

 

Selain dari segi medik, puasa sendiri mengandung banyak keutamaan-keutamaan (al-Fadha’il) yang Allah berikan dan tawarkan bagi siapa yang ingin meraihnya, di antaranya; Tadarrus al-Quran, Solat Tarawih, Sedekah, I’tikaf dan sebagainya. Dan yang paling menggiurkan bahawa Ramadan memiliki satu malam yang dirahsiakan oleh Allah kehadirannya, iaitu malam Lailatu-l-Qadr; malam seribu bulan.

 

Adalah hikmah Allah dalam setiap hitungan waktu memiliki nilai dan keistimewaan tersendiri. Dalam satu hari, ada waktu istimewa yang diberikan oleh Allah, iaitu waktu seperti tiga malam terakhir bagi siapa yang ingin mengerjakan solat malam. Dalam satu minggu Allah memberikan satu hari istimewa, iaitu hari Jumaat. Dalam satu tahun Allah memberikan satu bulan istimewa - bagi umat Islam, iaitu bulan Ramadan. Dan di dalam bulan tersebut Allah merahasiakan satu malam yang disebut dengan Lailatu-l-Qadr. Seribu bulan diperkirakan sekitar 83 tahun.

 

Subhanallah, bayangkan, umur kita saja jarang mencapai angka itu, tapi Allah memberikan nilai pahala sekitar 83 tahun bagi siapa yang menemui atau memperoleh malam yang penuh berkat tersebut. Malam tersebut adalah malam interaksi Allah dengan bumi, turunnya al-Quran ke dalam hati Nabi-Nya, (QS. 97: 1-5) (Abdur Rahim Thalbah Ahmad: 150).

 

Ternyata Allah menganjurkan pada malam tersebut dan waktu-waktu istimewa lainnya, agar kita bersungguh-sungguh dalam mencapainya. Dalam bulan ini juga, segala bentuk kebaikan dilipatgandakan dari 70 kali ganda hingga 700 kali ganda. Pahala amalan yang sunnah dinilai oleh Allah dengan penilaian ibadah wajib. Allahu Akbar!

 

Tujuan akhir dari ibadah puasa adalah mencapai darjat takwa (QS. 2: 183). Takwa adalah kesejajaran ‘iman’ dan ‘tali hubungan dengan Allah’ - dengan kata lain merupakan dimensi vertikal hidup yang benar (Dr. Nurcholish Madjid, Op. Cit., 7).

 

Ayat 183 dari surat al-Baqarah menjelaskan kepada kita bahawa ‘takwa kepada Allah’ merupakan langkah preventive untuk menghadapi segala macam kepincangan dan ketidakbenaran langkah manusia dalam lingkungan yang kita sendiri adalah bahagian dari lingkuangan tersebut. Bertakwallah kamu kepada Allah di mana pun kamu berada, dan ikutilah kejahatan itu dengan kebaikan nescaya akan menghapuskannya. Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang mulia (HR. Tirmidzi). Hadis tersebut menjelaskan lebih tegas bahawa takwa dan rasa takut kepada Allah merupakan the instrument of self control bagi setiap peribadi Muslim.

 

Ketika kita menjalankan puasa, di saat berwuduk sebenarnya kita boleh saja menelan air wuduk; kita telan sedikit ketika kumur-kumur. Rasanya, orang yang berada di samping kita pun tidak akan tahu bahawa kita melakukannya. Tapi kenapa tidak pernah kita lakukan? Kerana kita berasa bahawa ada yang memerhati kita; Allah yang Maha Tahu. Inilah salah satu value dari puasa yang sangat penting untuk dimiliki dan tidak kita dapatkan di dalam ritual ibadah lainnya. Kerana ibadah puasa merupakan ibadah yang bersifat private; yang tidak dapat orang lain mengetahui dan menilainya. Puasa adalah urusan antara Allah dan si pelaku dan Allah sendiri yang bakal menilainya (HR. Ibnu Khuzaimah).

 

Sungguh Ramadan merupakan tetamu agung yang datang menemui kita umat Islam. Tetamu yang datang membawa limpahan pahala, penggandaan ganjaran, keutamaan-keutamaan ibadah dan sebagainya. Marilah kita sambut kehadirannya dengan hati yang bersih dan dada yang suci. Mudah-mudahan segala yang dibawanya kepada untuk kita benar-benar milik kita yang berguna dan memang kita perlukan.

September 17, 2006

Smile Up Man…

Filed under: Cermin Diri

Pada dasarnya, semua orang boleh dan mampu tersenyum, namun kadangkala kerana ketidakseimbanganan fizikal mental membuat sebahagian di antara kita sukar untuk tersenyum. Dalam ajaran Islam, tersenyum dianggap sebagai suatu ibadah, Rasulullah SAW bersabda, "Senyummu kepada saudaramu adalah sedekah," (HR Muslim).

 

Senyum adalah sedekah, kerana orang yang tersenyum adalah orang yang mampu memberikan rasa aman dan rasa persahabatan kepada orang lain. Senyum juga menggambarkan karakter si pemberi senyum bahawa dia mempunyai sifat lembut, ramah, dan bersahaja. Untuk memotivasi para sahabat, suatu hari Rasulullah SAW berpesan, "Janganlah kalian menganggap remeh kebaikan itu, walaupun itu hanya bermuka cerah kepada orang lain." (HR Muslim).

 

Orang yang selalu bermuka cerah, tentu akan mendapat tempat dan disukai oleh banyak orang, sebaliknya orang yang hanya masam, mudah tersinggung dan marah akan dijauhi banyak orang. Situasi yang terakhir justru akan merosak keseimbangan fizikal, tekanan darah naik, denyut jantung tidak menentu dan cepat tua! Dalam dunia kesihatan ditemukan bahawa orang yang tersenyum, tertawa tidak berlebihan, membuat jasmaninya sihat terutama dapat mengendurkan ketegangan otot wajah, wajahnya selalu terlihat berseri dan indah dipandang.

 

Secara filosofi, senyum adalah ekspresi optimisme dan harapan. Sedangkan marah adalah ekspresi keputusasaan dan ketidaksabaran. Senyum adalah sikap membangun, marah adalah sikap merosak. Sikap marah hanya akan mengeruhkan keadaan, kemarahan boleh menjadi dendam, boleh menyebab pertikaian, boleh menguburkan ukhuwah.

 

Senyumlah… dan hindari marah.

 

"Orang yang layak dipuji ialah orang yang masih mampu tersenyum dalam keadaan serba menyayat memilukan hati." ~ Ella W Wilcox) emoticon

Tak Akan Susut Nilainya

Suatu ketika, ada seorang lelaki sedang bercakap-cakap dengan rakan-rakannya. Kemudian dia mengeluarkan selembar wang kertas yang masih baru, yang bernilai RM100. Lalu dia bertanya "Siapa di antara kamu yang mahu wang ini, jika diberikan ikhlas?" Lantas semua rakannya mengangkat tangan.

 
Katanya lagi, "Baiklah akan saya berikannya, tapi sebelum itu biar saya melakukan hal ini." Lelaki tersebut meramas-ramas wang kertas itu, menjadi gulungan kecil yang kumal.

 
Kemudian dia membuka lembaran wang kertas itu kepada bentuk asalnya, lembaran RM100 tapi sudah kumal sekali. Lalu dia bertanya, "Siapa yang masih mahu wang ini?" Dan, tetap saja semua rakannya mengangkat tangan.

 
"Baiklah, akan saya berikan, tapi biar saya lakukan hal ini dahulu." Dia menjatuhkan lembaran wang itu ke lantai, terus meminjak-minjak menggunakan sepatunya yang terkena lumpur sehingga bentuk wang kertas itu tidak kelihatan seperti asalnya lagi.

 
Dia bertanya lagi, "Siapa yang masih mahu?"

 
Tangan rakan-rakannya segera terangkat. Masih sebanyak tadi.

"Sahabatku, sebenarnya aku dan kau sudah mengambil satu nilai yang sangat berharga dari peristiwa tadi. Kita semua masih mahu wang ini walau bentuknya sudah tidak menentu lagi. Sudah keronyok, kotor, kumal… tapi nilainya tidak berkurang: tetap RM100! Sama seperti kita. Walau kau tengah jatuh, tertimpa tangga pula… sakit, hancur, atau kau gagal, tak berdaya, terhimpit, dan merasa terhina, kecewa dan terkhianati, atau dalam keadaan apapun, kau tetap tak kehilangan nilaimu… kerana kau begitu berharga. Jangan biarkan kekecewaan, perasaan, ketakutan, sakit hati, menghancurkan kamu, harapanmu, atau cita-citamu."

"Kamu akan selalu tetap berharga, bagi dirimu, bagi diriku, bagi sahabatmu, bagi sahabat yang lain dan kau tetap sama di mata Tuhanmu. Dia, Tuhanmu, ada dekat denganmu, jika kau berjalan menuju-Nya. Aku juga sahabatmu akan melakukan hal yang sama, kerana fitrah setiap diri kita akan mulia jika mencuba mendekati sifat-sifat Tuhan kita. Di sanalah nilai dirimu berada."

September 15, 2006

Arus Kehidupan

Assalamualaikum…

Dengarkanlah, suara ini… suara hati!

 

Kita sebenarnya jarang-jarang untuk sentiasa membuka mata terhadap setiap sudut dalam hidup dan kehidupan ini. Kita biasanya akan melalui hidup dan kehidupaan ini bagai sehelai daun yang dihanyutkan arus. Membiarkan saja diri terapung dan berserah ke mana arus mengalir. Ada kala kita dihanyutkan ke tepi, dalam pada waktu yang lain pula berada di tengah. Mungkin sesekali kita tersangkut pada tebing, atau ranting. Kita tersekat untuk beberapa waktu sebelum dihanyutkan kembali.

 

Memang, itu fitrah hidup dan kehidupan… kita sebenarnya tak mampu menentang arus. Walaupun pernah dan ada yang mencuba, namun bagaimana kesudahannya pasti kita ketahui.

 

Sebenarnya, kita tak perlu menentang arus. Dan, kita juga tak sepatutnya hanya pasrah dihanyutkan arus! Lalu, bagaimana wajarnya? Kita perlu tahu arah, kita perlu tahu mengemudi. Ke manakah arus akan membawa kita dan bagaimana kita mengemudi diri tatkala mengikut arus itu - itulah yang terpenting!

 

Wassalam… 

September 14, 2006

Sesuatu Yang Baru : Hidup Perlu Berubah

Filed under: Memo

Assalamualaikum… Salam Blues Untuk Semua! emoticon

 

Sesuatu di antara waktu telah banyak mengajar kita tentang hidup dan kehidupan. Kita perlu sentiasa sedar bahawa hidup ini perlu dan akan sentiasa berubah. Mudah-mudahan, setiap daripada kita sekalian hamba Maha Pencipta ini akan berubah kepada LEBIH BAIK daripada sebelumnya, insya-Allah.

 

Ini tapak baru! Ini juga sebagai lambang kehidupan baru. Mungkin semalam kita di atas, dan hari ini mungkin kita di bawah. Itu hakikat dan realiti putaran dalam hidup dan kehidupan. Makanya, kepada setiap telah hadir dan pergi dari hidup ini… terima kasih banyak-banyak. Moga Maha Pemurah mengurniakan kebahagiaan dunia akhirat buat kalian. Untuk orang-orang yang disayangi dan menayangi, adik-adik, anak-anak, sahabat dan seluruhnya… syukur kerana berkesempatan ‘memiliki’ kalian walau mungkin bukan untuk selamanya. Mudah-mudahan apa yang diberi membahagiakan, kerana hanya mampu menyediakan sekadarnya.

 

Sesuatu di antara waktu

Adalah ruang kita bertemu

Menganyam kasih agar bersatu

Menyusur kehidupan penuh liku

Antara engkau dan aku

Bernaung kasih-NYA yang SATU

 

Wassalam. 






















Get free blog up and running in minutes with Blogsome
Theme designed by Helga Cleve